Selasa, 9 Disember 2014

Bercuti lagi

Assalamualaikum..

Jika tiada aral melintang esok aku akan mula bercuti..segan sebenarnya nak bercuti lagipun aku baru saja mula kerja selepas cuti bersalin 3 bulan..maafkan daku boss, kali ini aku terpaksa ambil cuti sebab hujung tahun begini mood balik kampung semakin membuak.ehe..lebih-lebih lagi kali ini kami pulang bertiga bersama 'orang baru'..

Cuti selalu ku manfaatkan untuk balik kampung :)

 
Dalam perancangan nak buat majlis Akikah sekali dah alang-alang balik kampung kan. kebetulan abang dan kakak semuanya balik. dapatlah kami 3 beradik berkumpul bersama. bukan senang nak berjumpa dalam satu masa tambah-tambah lagi bila semua dah kahwin. Kadang Hari Raya pun kami tidak dapat berkumpul semua sekali..
 
Dalam aku kalut tak sabar nak balik kampung, aku jua perlu siapkan semua kerja-kerja yang berkaitan dengan kewangan.  Semua kena di siapkan baru dapat bercuti dengan tenang tanpa fikirkan masalah kerja. ah.. cakap tu macam pekerja cemerlang kemain lagi.



Selasa, 2 Disember 2014

Kembali selepas tiga bulan

Assalamualaikum...
 
Sepanjang tempoh 3 bulan banyak yang berlaku, dari berbadan dua hingga sekarang sudah bertiga :) Alhamdulillah aku sudah selamat melahirkan seorang anak lelaki pada 30 Ogos 2014 yang lalu..nampaknya dia keluar awal sehari dari tarikh jangkaan doktor..kalau si anak bertahan  sehari lagi boleh jadi 'Anak Merdeka'. takpe la yang penting semuanya selamat dan di permudahkan.
 
Sudah 3 hari aku naik kerja selepas cuti bersalin 3 bulan..masih mencari-cari mood kerja, tetiba rasa macam pekerja baru tak tau apa.. kebetulan office masih under renovation, dibesarkan bagi menampung penambahan ahli baru selepas penggabungan dua Bahagian, rakan sekerja pun makin bertambah dan aku harap moga semuanya boleh memberikan kerjasama yang baik.
 
Sesekali fikiran melayang terkenangkan si anak yang sudah 3 hari ku hantar ke rumah ibu pengasuhnya (bermula Jumaat lepas 28/11/2014). Alhamdulillah dia sepertinya serasi duduk di sana. bersabarla anak..bukan mama sengaja tinggalkanmu, mama harus bekerja sayang!

Assalamualaikum..nama kite Ammar Muhammad.
mama cuti 3 bulan rasa macam 3 ari je :P 
 
Semoga anak kita sentiasa dalam lindunganNya.. bersangka baik dan berterima kasih pada pengasuh semoga lembut hatinya menjaga anak kita seperti menjaga anak sendiri. Betul la orang kata menjadi seorang ibu harus kuat fizikal dan mental. Bangun berjaga di tengah malam perkara biasa, Amanah ini hanya pinjaman sementara semoga diri diberi kekuatan untuk membesarkan Anugerah terindah ini.. Begini rupanya perasaan seorang wanita bila sudah bergelar ibu..penat macam mana sekalipun diri akan jadi kuat juga demi anak yang tersayang.



**Melayan ragam anak kecil itu sebenarnya menyenangkan dan membahagiakan  andai kita menjadi seorang ibu yang bersabar.
 
 

Selasa, 26 Ogos 2014

Over due

Assalamualaikum..
 
Kalau di ikutkan Jumaat lepas hari terakhir aku bekerja...Semalam aku ada temujanji dengan doktor di hospital yang mana semalam juga (25 Ogos 2014) merupakan hari aku di jangka melahirkan. Tapi siapalah kita untuk melawan ketentuanNya.. Hasil dari pemeriksaan doktor, aku masih belum ada tanda-tanda mahu bersalin, 'jalan' pun masih belum buka.
 
Alhamdulillah keadaan baby semuanya baik, bacaan gula, tekanan darah tinggi semuanya normal cuma baby je yang masih belum ada tanda mahu keluar. Doktor bagi aku tempoh 6 hari lagi, kalau tanda nak bersalin masih belum ada aku kena 'check in' jugak dekat wad hospital 31 Ogos 2014 ni. Mahu tak mahu aku kena datang menyerah diri di hospital pada tarikh itu. Mungkin akan di beri ubat untuk paksa bersalin. Takut sebenarnya..tapi kena jugak hadapi detik itu..orang lain mampu aku pun mesti boleh, kan..

 
25 Ogos 2014 yang sudah berlalu..
 
 
Aku harapkan semoga dalam tempoh seminggu masa yang diberi ni akan adalah tanda-tanda bersalin, biar aku dapat melahirkan baby ini secara normal. Ramai yang nasihat suruh banyakkan berjalan, ya itu aku dah lakukan. Pasal tu aku mengambil keputusan untuk masih turun bekerja sedangkan aku boleh saja duduk berehat di rumah menunggu kelahiran ini..


**semoga semuanya di permudahkan...buatmu 'permata hati' yang bakal lahir, kami menantimu dengan penuh sabar, cepat atau lambat tidak mengapa asalkan kelak kamu akan keluar dengan sihat sempurna dan selamat..

 
 

Selasa, 5 Ogos 2014

Syawal 1435H

Assalamualaikum..
 
 
 
Dah masuk Syawal ke 9 hari ini..Harapnya masih belum terlambat untuk aku menitipkan Salam Hari Raya buat semua. mohon kemafaan andai ada salah dan silap.. Dalam kita bertegur sapa di alam maya mungkin ada silap yang mana aku sendiri tidak menyedarinya.
 
Raya tahun ni sambutan agak sederhana, aku tidak pulang ke kampung halaman seperti tahun-tahun yang lepas. Cuma merayakan Aidilfitri di sini bersama suami, lagi satu faktor keadaanku yang tidak mengizinkan untuk berjalan jauh. 1 syawal yang lepas genap 9 bulan usia kandunganku. Alhamdulillah sepanjang Ramadhan dapat jua berpuasa penuh dalam keadaan berbadan dua. Baby tidak banyak meragam..cuma sesekali perut mengeras, orang kata itu perkara biasa..selagi tidak memudaratkan tidak mengapa.

Raya pertama aku dan suami  ke rumah akak di Puchong, Selangor. Berjumpa emak di sana. Aku tahu jauh di lubuk hatinya dia rindu nak balik ke kampung. Rindu rumahnya yang sudah hampir setahun di tinggalkan, rindu saudara mara di sana, dan yang pastinya rindu akan suasana di kampung, yang sememangnya tidak akan sama dengan apa yang ada di sini. Sebenarnya sudah kerap kali emak menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung. Tapi buat masa ini kesihatan emak masih belum pulih sepenuhnya, kami adik beradik sepakat mahu mak terus tinggal di sini bersama akak. Biasa memang begitu orang tua mana mahu tinggalkan rumahnya, biar semua susah senang dia semahunya mahu berada di rumah sendiri..itu yang perlu kita paham.


 
 
Aku tidak menyambung cuti selepas Hari Raya..masuk Raya ke-3 dah mula kerja macam biasa. Cuti bukan tiada, tapi sengaja ku simpan yelah nanti bila dah ada baby mana tau kan kena ambil cuti selalu. kesihatan anak kita tak boleh nak jangka, itu antara nasihat kawan-kawan yang dah ada pengalaman..


**jika tiada aral melintang tahun depan boleh beraya di Sabah, masa tu balik beraya bertiga dah.. apa pun aku mengharapkan semoga dapat melahirkan 'cinta hati' ini dengan selamat. dah masuk minggu yang ke37, nurse bagitahu bila-bila masa baby akan keluar. doakan ye...


 
 

Jumaat, 23 Mei 2014

sotong katak?

Assalamualaikum...

Pernah tak korang dengar atau pun tau pasal kewujudan sotong katak? ke aku yang selama ni tak tau. Haritu gi beli barang dapur sekali beli lauk.. kebetulan terjumpa sotong katak ni. Memang la ada rupa macam sotong biasa cumanya sotong katak ni fizikal dia lebih pendek dan bulat. berwarna putih kelabu..rasanya kenyal-kenyal. Lagi satu tulang sotong katak ni lebar dan keras. ni la rupa sotong katak tu
 
 

ada rupa katak ke sotong ni? sampai digelar sedemikian..



...dan yang dah di masak, siap sedia untuk di makan
 
 
 
***antara sotong dan udang aku lebih gemarkan ketam.. wah
 
 

Jumaat, 16 Mei 2014

Selamat Hari Guru 2014

Assalamualaikum...
 
Selamat Hari Guru ku ucapkan buat semua guru di seluruh Malaysia. Jasa dan pengorbanan kalian selamanya dalam ingatan.. Tanpamu guru kami bukan siapa-siapa pada hari ini.


dulu....sewaktu bergelar pendidik.
 
 
Pengalaman mengajar suatu masa dahulu merupakan satu pengalaman yang amat berharga. aku doakan semoga kamu semua berjaya dan menjadi 'manusia' yang boleh membahagiakan ibu bapa serta berbakti kepada Negara.

Cikgu sayang kamu semua!!!

 

Selasa, 6 Mei 2014

Masih trauma

Assalamualaikum buat semua sahabat maya yang di muliakan..

ya, aku masih trauma dengan kejadian yang menimpa semalam (05/05/2014) Hari ini masuk kerja dengan fikiran yang masih tertanya-tanya dengan seribu satu persoalan.. Bukan tidak redha dengan apa yang berlaku, tapi ada sedikit rasa terkilan barang yang betul-betul berharga telah lenyap sekelip mata.

Lewat petang semalam sekitar jam 5.45 petang aku dan ayah mentua tiba di rumah dari tempat kerja masing-masing..Pada pandangan luaran semuanya baik sahaja..pintu masih terkunci, tenang dan sunyi seperti selalunya. Bila melangkah ke dalam rumah ayah perasan lampu biliknya menyala dan pintu sedikit terkuak. Serasanya pagi tadi sebelum ke tempat kerja semua suiz telah di tutup..ah mungkin hari ini terlupa kot! masih ingin bersangka baik.. aku melangkah ke bilikku..terpandang pada bilik bertentangan yang pintunya terbuka luas..banyak barang atas katil, aku mula merasa semacam dan bila aku masuk ke bilik sendiri berderau darah tengok keadaan bilik yang berselerak.


asalnya barang ni tersimpan kemas dalam kotak, habis semua di sepahkan..
salah satu laptop yang hilang dari dalam beg merah ni
 
 
Barang-barang dari dalam almari semua bertaburan di atas lantai, laci pula di angkat ke atas katil dengan isi di dalamnya sudah pun dikeluarkan. Almari solek jangan kata, habis di sepahkan segala apa yang ada di dalamnya. Ayah melarang aku menyentuh apa-apa di dalam bilik. Cuma mataku yang meneroka ke segenap pelusuk bilik. sah.. Laptop sebelah katil hilang, laptop yang setiap malam menemani tidur kami dengan alunan zikir yang sengaja di pasang oleh suamiku. katanya nak bagi baby dalam kandungan ini mendengarnya sekali. itu laptop milik suami dan laptop milikku yang ku simpan elok di dalam beg juga hilang sekali. Laptop yang ku beli zaman belajar dulu. Walaupun itu cuma laptop lama, namun nilai kenangannya tidak mungkin dapat ku beli semula :( Ya, aku masih terkejut dengan apa yang berlaku.
 
Tidak lama lepas tu suami sampai ke rumah, dia pulang sedikit lewat dari kami.seperti biasa dia lebih selesa ulang alik ke tempat kerja menaiki motor. Aku tak mampu nak beritahu apa yang berlaku, biar dia melihatnya sendiri. dan lagi satu yang buat kami bertambah terkejut rupanya kereta suami di larikan sekali. Ya Allah... mungkin silap kami sendiri kunci kereta di letak elok di almari yang mudah untuk di lihat.
 
Ayah tanpa berlengah terus ke balai berdekatan nak buat report kecurian/kehilangan..Aku? masih kaku terduduk di kerusi ruang tamu. tidak tahu mahu berbuat apa. Apa pun aku bersyukur nyawa kami masih di lindungiNya..
 
 
anggota polis menjalankan kerja mereka...terima kasih atas keprihatinan kalian..
 
 
sekitar jam 8.00 malam ayah dapat panggilan telefon dari polis yang bertugas dan di maklumkan kereta di jumpa di satu kawasan perindustrian yang agak tersorok di dalam bangunan kosong. Kereta di dapati berkunci..mujur suami ada simpan kunci pendua kereta..kami segera ke sana dengan tiga lagi kereta polis. sah itu memang kereta milik suami, walaupun nombor pendaftaran kereta telah di cabut. Lajunya 'mereka' bertindak. Kami di maklumkan kawasan tersebut merupakan kawasan untuk meleraikan badan kereta. Jika polis sedikit terlewat mungkin kereta ini sudah menjadi 'korban' terpisah enjin dan badan.. Syukur ia dapat di temui semula.
 
 
 
di lokasi inilah kereta suami di jumpai 2 jam selepas laporan polis di buat
 
Selepas kereta di periksa dan di bawa ke balai, pihak Polis bergerak ke rumah pula. Mereka memeriksa sekitar kawasan rumah dan di dapati tiada kesan pecah ataupun umpilan di pintu dan tingkap.Tidak tahu bagaimana 'mereka' boleh masuk..

Semalam hampir jam 12 tengah malam baru pihak polis meninggalkan rumah..sekali lagi aku menjenguk ke dalam bilik. sayu rasa hati melihat keadaan sebegitu..cincin merisik dan cincin duit mas kahwin pun hilang sekali. liciknya mereka...tidak mengapalah mungkin itu rezekinya.. aku cuba untuk memujuk diri walaupun terlalu sukar untuk aku meredhai kehilangan mahar tersebut :(
 
Malam semalam tidurku tidak lena..aku asyik terjaga mungkin sebab terlalu berfikir. Risau perkara buruk terjadi lagi..Tapi aku yakin Allah itu sentiasa ada bersama...
 
Cerita ini aku kongsikan sebagai pengajaran buat semua, sentiasalah berjaga-jaga dalam apa keadaan sekalipun. Terkadang kita merasakan sudah cukup selamat sedangkan musibah itu ada di mana-mana. Elakkan dari menyimpan kunci pendua di luar rumah..Orang kita selalu kan letak kunci dalam pasu bunga, dalam kasut dan kat celah-celah pokok pun ada. Nasihat polis jangan berbuat sedemikian! Peranan jiran pun cukup penting, rasanya duduk di rumah teres lagi terjamin keselamatan kan. Ahhh...kalau benda nak jadi duduk di rumah berkunci penuh siap dengan CCTV pun boleh jugak di pecah masuk.
 
Semoga kita semua dalam lindungan Allah selalu...
 
Salam dariku, BungaTulip..
 
 
***Doakan semangatku pulih ye kawan-kawan. risau baby dalam perut pun terkejut sekali.
 
 
 

Isnin, 28 April 2014

Bunga Tulip di Cardiff, Wales

Assalamualaikum...

Ucapan terima kasih ini aku dedikasikan khas buat sahabat maya, Hartini Omar. Aku kenal dia beberapa tahun yang lalu, tidak pernah bersua muka tidak pernah mendengar suara, cuma aku membaca ceritera dia di sini. aku tertarik dengan gaya penceritaan dia di blog, terkadang kata-katanya itu satu motivasi buatku, gambar yang di rakamkan menceritakan segalanya, dulu Tini selalu rakam gambar raja sehari sekarang beralih kepada gambar pemandangan indah di luar Negara pula.
 
Tini kini menuntut di London, United Kingdom. Aku pernah beritahu dia, untung la kamu Tini muda-muda dapat duduk di negara orang, dapat kenal budaya mereka, katanya itu semua rezeki. Ya, memang rezeki Tini dan dengan izin Dia juga. Aku tahu ini yang kamu impikan sejak dulu.. pengorbanan kamu bukan sedikit di sana! semoga kamu akan pulang bersama kejayaan kelak. Itu doaku untukmu...
 
Tini sempat merakamkan beberapa keping gambar bunga tulip sepanjang percutiannya di Cardiff, Wales..Sangat cantik, berwarna warni. Alangkah bertuahnya andai dapat melihat keindahan ini di depan mata. Apa pun, terima kasih banyak ye Tini atas perkongsian ini, Bunga itu sudah cukup cantik, kreativiti kamu menangkap gambar menambah lagi keindahannya. Bakat seni yang memang ada pada kamu.. Ini antara gambar yang di tangkap sendiri oleh Tini..jom cuci mata :)
 
 
sedang Tini dok tangkap gambar, ada pula budak comel ni.. tak pasal-pasal dah jadi model.
 
 
Bunga Tulip di Cardiff biasanya di jadikan bunga hiasan untuk landscape
 
 
Bunga Tulip Kuning, sangat cantik..digabungkan dengan bungaan kecil berwarna putih
 
 


Menurut Tini kelopak Bunga Tulip ni macam kain baldu, keras dan tak mudah gugur  bila di pegang. Biasanya tengok bunga tulip warna-warna terang dan ceria, rupanya ada juga tulip warna hitam. Terima kasih untuk infonya Tini...






Tulip Merah di selang seli kan dengan Tulip Putih...Naik gabungan dua warna ni
 
 
Bunga Tulip dan Bunga Sakura, aku bagitahu Tini kat Malaysia baru-baru ini pun ada musim 'Bunga Sakura' Ehe itu 'Bunga Sakura' iklim khatulistiwa kot :)
 
 
***semua gambar ihsan dari blog Tini, Ceritera Yang Tak Sudah.
 
 
Sekali lagi Tini, terima kasih untuk entri Musim Bunga ni ye..ini pun sudah cukup memadai dapat la tengok pokok-pokok bunga yang ada di sana. Bak kata Tini, jangan pernah henti berdoa, siapa tahu satu hari nanti dapat ke sana juga.  Melihat sendiri keindahan ciptanNya kan.
 
Menjalani kehidupan sebagai pelajar di negara orang memang banyak dugaannya Tini.  Kawan-kawan antara mereka yang paling rapat di sana. Semoga kamu diberikan kekuatan, agar nanti kamu kembali dengan kejayaan yang paling manis hadiah buat orang tua mu.
 
Salam sayang dari kejauhan,
Bunga Tulip~~


Jumaat, 11 April 2014

Jambu air berbuah lagi

Assalamualaikum..
 
Salam jumaat, Alhamdulillah cuaca sekarang dah semakin baik, hujan dan panas silih berganti..pokok-pokok pun sudah mulai 'hidup' semula. Hujan yang di tunggu kini selalu ada terkadang pagi kadang petang turun nya..tak kira masa kadang tengah kita di buai mimpi hujan turun menambah lena kita.
 
Pokok dekat kebun Ayah semakin subur tumbuhnya. yang dulu rumput bertukar kekuningan kini semakin naik warna hijaunya. pokok buah semakin galak mengeluarkan buah, dan bunga tentunya semakin kembang berseri.
 
Pokok jambu air yang ayah tanam tahun lepas tengah mengeluarkan buah buat kali yang kedua. Masa buah pertama dulu daunnya lebih lebat dari buah, tapi kali ini agak berbeza daun jambu air semakin berkurang, buahnya agak banyak jika dibanding dengan saiz pokoknya yang rendang.
 
 
ni buah kedua jambu air selepas buah pertamanya pada hujung tahun lepas..
 
 
 
tengoklah daun yang semakin kurang tak serimbun dulu. pokoknya tak tinggi mana pun
 
 
 


 
buah disebalik daun.. ada buah yang sudah boleh dipetik ada jugak yang baru berbunga.
 
 
 
hasil tuaian..
 
 
 
semoga akan terus menghasilkan buah yang ketiga, keempat dan seterusnya...
 
 
 
Dalam entri mengenai jambu air yang lepas, ada rakan bloger bagitau buah ini jua di panggil jambu bertih. mungkin sebab saiznya yang kecil, ada juga yang panggil jambu loceng kerana ia mirip loceng :) nama yang berbeza tapi buahnya sama sahaja. rasanya sedikit masam tapi sedap
 

Isnin, 7 April 2014

Ikan bilis mata biru

Assalamualaikum...
 
Ikan bilis mata biru? ya, itulah ikan bilis yang popular di Pulau Pangkor. Aku pun baru tau kewujudan ikan bilis mata biru ni. Kalau di Sabah selalu orang dok cari ikan bilis kering je..
 
Kebetulan minggu lepas aku dan dua orang rakan sekerja ke Lumut, Perak. Tiga hari di sana atas urusan kerja. Dah alang-alang sampai ke Lumut kami terus ke Pangkor (yang sebenarnya kami tersesat masa pegi tu tak jumpa jalan nak ke Marina Cove Resort. Tau-tau dah sampai ke Pangkor)
 
Lepas je program hari ketiga selesai, sebelum gerak balik ke Melaka kami ke Pangkor mencari hasil laut untuk di bawa pulang. Macam-macam jugak yang ada di sana. Ni cuma sebahagian je, tak dan nak tangkap gambar semua :)
 
 
ini la rupa ikan bilis mata biru..
kalau tengok dari jarak dekat baru perasan si pemilik mata biru ni :)
 
 
sotong yang bulat-bulat comel ni sedap jugak buat sambal,
ikan bilis pula di goreng buat pelengkap nasi lemak...
 
 
 
makanan ringan hasil laut yang ada, harganya ok la boleh tahan..kalau beli banyak boleh dapat diskaun.
tak ke seronok kalau macam tu. masing-masing bawa pulang beg besar :)
 
 
Gambar kenangan kami di sana...
ada ramai lagi sebenarnya tapi masing-masing dah panjang langkah
 
 
 
***Ada masa dan peluang nanti teringin juga nak bercuti ke Pulau Pangkor, naik feri gi seberang sana. masa ni kami memang tak sempat nak ke seberang.. sekadar jejakkan kaki di jeti je.. 
 
 

Selasa, 1 April 2014

Abang dan kakak

Tidak tahu kenapa petang-petang sebegini aku tetiba merindui mereka. Kami tak ramai cuma tiga beradik, yang sulung abang yang kedua kakak dan aku yang ketiga. Alhamdulillah ikatan persaudaraan kami sangat erat walaupun masing-masing kini tinggal berjauhan. Abang di Keningau, Sabah. Kakak pula menetap di Puchong, Selangor dan aku kini di Melaka. 
 
di hari bahagiaku, kakak dan abang di hujung kiri dan kanan..susah nak tangkap gambar bertiga
 
 
Terkadang aku ingin kembali pada masa lalu, agar aku boleh duduk sebumbung dengan mereka. walaupun rumah di kampung tidak sebesar mana tapi di situlah kami membesar, menyemai kasih sayang adik beradik. Merasa suka duka perit dan payah kehidupan bersama. Mungkin kami tidak ramai itu yang buat kami bertiga rapat. Jarak umurku dengan kakak agak jauh lebih kurang 7 tahun. Masa kecil dulu aku selalu jadi mangsa suruhan abang dan kakak. yang sorang bagi arahan lain yang sorang pulak suh aku buat benda lain dalam satu masa. jadinya aku yang pening sendiri.. masa tu dalam kepala dah set yang diorang tu abang dan kakak, kuasanya lagi tinggi. boleh mengarah itu dan ini. Apa yang di suruh semua aku mesti lakukan! itu yang buat aku ingat sampai sekarang. ehe... Nasib la aku tiada adik kalau tak mesti jadi mangsa jugak di suruh buat itu dan ini :)
 
 
kakak masa sama-sama bercuti di Cameron Highland tahun lepas
 
Dan hari ini masing masing sudah ada kehidupan dan keluarga sendiri. dengan kakak aku biasa jumpa lagipun Melaka dan Selangor bukannya jauh. Sekali sekala jika ada kelapangan dan cuti hujung minggu aku akan berkunjung ke rumah akak lagipun sekarang emak ada di sana, dalam jagaan kakak.

Dengan abang pula jumpanya cuma sesekali sahaja kadang setahun cuma dua atau tiga kali jumpa itu pun pada Hari Raya atau sekiranya aku pulang ke kampung. Kami berutus berita dan cerita cuma di telefon itupun sudah cukup buat kami saling mengambil tahu dan bertanya khabar berita masing-masing.

 
abang sulung,  last jumpa hujung tahun lepas masa bercuti di Kundasang
 
 
Baru semalam abang menyambut ulang tahun yang ke-36 (31 Mac 1978) semoga abang terus di berikan kesihatan yang berpanjangan dan bahagia bersama isteri dan anak-anak. Panjang umur murah rezeki nanti kita jumpa lagi. Terima kasih atas pengorbananmu selama ini, lepas arwah bapa meninggal engkau lah abang engkaulah bapa. tanggungjawab yang tidak pernah kau abaikan sehingga kami adik-adikmu berumahtangga. Engkau abang yang terbaik buat kami berdua..
 
 
 
***Aku akui antara kita tiga beradik aku yang paling tidak cool. Selalu beremosi lebih..apa pun terima kasih atas kesabaran kalian berdua. Sedari aku kecil sampai sekarang perhatian dan kasih kamu berdua tidak pernah berkurang. Semoga kita bertiga dapat menjadi anak yang terus dapat berbakti dan menjaga emak sebaiknya.
 
 

Isnin, 24 Mac 2014

Di tepian pantai



Pantai Puteri, Melaka


Dua tahun lepas kami pernah ke pantai ini, buat yang pertama kalinya..kali ini kami kembali lagi, ingin mencari jejak dulu yang pastinya sudah hilang di telan ombak pantai.. Dulu datang waktu petang, semalam kami pegi waktu pagi, siap bawa bekalan dari rumah. Awal pagi dah bangun buat bihun goreng dan sandwich sardin tak lupa teh tarik buat sarapan pagi di sana. Selera lebih pula makan kat sini :)



 
 
 
Ramai jugak yang datang pagi-pagi macam ni. Suka tengok ragam bebudak kat sini, siap bawa pelampung bagai. ada yang mandi manda, ada yang main pasir, ada juga yang main layang-layang. Sesekali berhujung minggu di tempat sebegini seronok jugak sebenarnya. Menjelang tengah hari kami siap-siap untuk pulang sambung rehat di rumah pula.
 
 
 
 
**Cuti sekolah baru bermula rupanya, padanlah ramai yang datang dengan keluarga ke sini. memanfaatkan cuti bersama keluarga tersayang. Anak-anak pastinya  antara mereka yang paling gembira
 

Rabu, 12 Mac 2014

Harapan Buat MH370

 
 Aku ingin percaya
Semuanya baik-baik saja.
Tiada bahaya
Bukan pedaya.
Yang terlindung kan bersua
Yang tersayang kan bersama.

Aku ingin percaya...
Semuanya dalam jaga DIA
Penuh limpah rahmat kasih Nya.

Aku ingin percaya
Harapan dan harapan terus berbunga.
Singkapkah hijab melata
Rungkailah semua teka kata.

Dengarlah Ya Allah..
Aku akan terus percaya.
Aku jua akan terus berDOA
 
 
 
 
 
 
 hanya DOA yang kami kirimkan di hari kelima 'kehilanganmu'...
 
 

Selasa, 25 Februari 2014

Hujan yang di nanti

Lamanya rintik hujan tidak turun kan. Bangun pagi tadi sebelum keluar gi keja cuaca kat luar rumah mendung dan berangin, seolah petanda hari akan hujan. Rupanya itu cuma ramalan semata..
 
Kadang bila balik kerja rasa badan letih semacam. nak kata buat kerja berat, rasanya kerja yang di buat sama sahaja seperti dulu. mungkin faktor cuaca yang buat badan cepat rasa letih mata pun bagi kerjasama padu tidur lebih awal untuk dapatkan rehat secukupnya. cuaca kering dan panas begini kita kena banyakkan minum air masak baru badan kan lebih bertenanga. kalau tak rasa lemah longlai je.
 
 

musim panas begini, bunga kertas galak mengeluarkan bunga..
rumput pula sudah mula bertukar warna semakin segan mahu hidup..
 
  
Adakalanya kita sebagai manusia biasa selalu mengeluh bila di turunkan hujan, akan ada yang bersuara, jika tak di luahkan mungkin cuma terdetik di hati 'asyik hujan je, nak keluar pun susah'. Namun bila nikmat itu ditarik sementara dan diganti pula dengan cuaca panas terik kita akan menagih hujan yang dulunya  tidak kita mahukan. terkadang nikmat depan mata susah untuk di syukuri, namun bila ia sudah tiada baru kita tercari-cari nikmat yang pernah kita miliki dulu..Setiap apa yang berlaku pasti ada baik dan buruknya. mungkin bukan pada kita, tapi pada orang lain. siapa tahu kan..
 
 
 
**dengarnya negeri Selangor akan ada catuan air, susahnya bila air tiada, nak buat apa pun semua payah. kesian pada keluarga yang ada anak kecil. semoga akan ada jalan penyelesaiannya nanti
 
 

Rabu, 5 Februari 2014

05 Februari 1986

 
 
  
Hari ini..
Genap usiamu 28 tahun
Aku mengharapkan di usia dan ditahun ini
kegembiraan dan kebahagiaan selalu bersamamu
in shaa allah kehidupan lebih berseri dengan hadirnya 'dia' nanti
pengikat kasih kita, kurniaan dari Yang Esa
 
selamat ulang tahun sayang
tiada hadiah mahal dapat ku berikan
cuma ingatan dan doa ikhlas ku titipkan buatmu
mendoakan moga dirimu diberikan kesihatan berpanjangan
agar aku bisa berpaut, menumpang kasih padamu
 
Suamiku..
kita punya jalan cerita hidup berbeza
semoga ikatan perkahwinan ini mendekatkan diri kita berdua
bukan untuk mencari berbezaan, tapi untuk kita mencari satu titik persamaan
bertabah la sayang, aku sentiasa ada bersama denganmu
dalam susah dan senangmu jua
biar kita sama seiring menggapai redhaNya
buat bekal kita di sana nanti.
 
 Terima kasih untuk segalanya...
~~Selamat ulang tahun kelahiran buatmu~~
 
 
kamu suatu ketika dulu...
 
 

Khamis, 16 Januari 2014

Sudah Lapan Minggu

Assalamualaikum..
 
Harap semua dalam lindungan Ilahi, diberikan kesihatan yang baik dan dikelilingi dengan orang-orang yang membahagiakan dan menyenangkan. Andai kita ingin orang sekeliling positif pada kita biarlah kita mulakan dari dalam diri kita sendiri. cuba untuk berlapang dada dan tanamkan sifat-sifat mulia dalam diri sendiri.

Alhamdulillah.. itu yang selayaknya ku panjatkan di kala ini, selepas setengah tahun mendirikan rumah tangga saya kini sedang mengandungkan zuriat hasil perkahwinan dengan suami tercinta. Membesarlah dengan sihat anakku, membesarlah kamu dalam rahim ini, akan ku jaga dirimu sebaiknya, semoga terus diberi kesihatan yang berpanjangkan dan dikuatkan semangat untuk mengharungi tempoh 9 bulan 10 hari ini bersamamu sebelum kamu keluar melihat kehidupan yang sebenar-benarnya. Kehidupan yang punya banyak cabaran dan dugaannya.
 
 

 
PERKEMBANGAN JANIN DALAM KANDUNGAN MINGGU KE-8
 
Rupa bayi sudah mulai terbentuk antaranya pembentukan lubang hidung, bibir, mulut serta lidah. Matanya juga sudah kelihatan berada di bawah membran kulit yang nipis. Pada masa ini juga anggota tangan serta kaki juga terbentuk walaupun tidak berapa jelas lagi.
 

Pagi tadi ke klinik kesihatan untuk daftarkan kehamilan sekali buat buku pink, tiap kali ke klinik ataupun hospital dengan sendirinya rasa takut itu datang. Tak pasal-pasal tekanan darah aku naik..tenang-tenang sudah, tak payah nak gelabah. Tapi memang dari kecik macam tu la tiap kali pijak kaki ke klinik/hospital mesti berdebar semacam. Patut la aku tak jadi jururawat. ehe :)
 
**dulu nak sangat zuriat awal, sekarang baru aku dapat jawapan kenapa pada masa sekarang baru di beri zuriat, rupanya DIA mahu aku dekat dengan suami. Perancangan Allah itu maha cantik.. Alhamdulillah syukur padamu atas kurniaan rezeki yang tak ternilai ini
 

Rabu, 8 Januari 2014

Wordless Wednesday - Ikan Patin

 
 
Mungkin ada tekak yang tak boleh terima ikan sungai,
tapi tekak saya ni selera kampung...
 
 
*Ikan Patin Masak Lomak Cili Padi versi Sabah*

Jumaat, 3 Januari 2014

Selamat datang 2014

Assalamualaikum...
 
Tiga hari pertama kita di tahun baru 2014. Pastinya 2013 yang telah pergi meninggalkan seribu satu kenangan buat kita semua. Mengharapkan 2014 yang baru sahaja membuka tirainya menjadi satu titik permulaan yang baik buat kita semua. In Shaa Allah
 
Alhamdulillah permulaan tahun 2014 ini membawa berita gembira buatku. Apa yang di impikan selama ini akhirnya tertunai jua. Permohonan untuk bertukar mengikut suami telahpun di luluskan, Hari ini hari pertama saya di tempat baru. Semuanya serba baru. Tidak mengapalah demi tuntutan dan tanggungjawab kepada keluarga saya mulakan semuanya dengan lembaran baru. Saya tidak boleh membandingkan tempat dahulu dengan yang sekarang, di mana sekalipun kita mencari rezeki sama sahaja tiada apa yang berbeza. Jangan difikirkan bebanan yang ditanggung, kita perlu niatkan ia sebagai satu ibadah. Mungkin kan lebih mudah buat kita. kan...


 sebahagian pemberian mereka buatku..
 
terima kasih untuk segalanya..
 
Tempoh masa saya di JPDP tidak panjang cuma lebih kurang setahun setengah sahaja, belum puas bersama mereka, bersama teman sekerja yang telah banyak memberikan tunjuk ajar padaku. Sokongan dan bantuan kalian akan selamanya dalam ingatan. semoga ikatan ukhuwah antara kita berkekalan selamanya.
 

 
** SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2014 **