Jumaat, 18 Januari 2013

Ketentuan MU


Assalamualaikum buat semua...
Entri pertamaku di awal tahun Dua Puluh Tiga Belas
Permulaan cerita ku abadikan di hari Jumaat yang penuh keberkatan. Moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNYA. Entah bagaimana harus aku mulai penulisan ini, semangat tidak seperti selalunya..

Semangatku sudah tinggal separuh yang masih bersisa. selalunya saat aku punya masalah orang pertama yang akan aku hubungi sudah tentu emak tersayang, walaupun suaranya ku dengar lewat telefon tapi nasihat dan kata-katanya sudah cukup membakar semangatku untuk bangkit semula meniti kehidupan yang tidak pernah lari dari masalah.

6 Januari 2013 sekitar pukul 4.10petang, itu kali terakhir mendengar suara emak di telefon, masih sempat bergurau senda, begitulah rutin harianku walaupun jauh aku tidak pernah lupa menghubungi emak setiap hari bertanyakan khabar beritanya. Beberapa jam selepas itu, aku mendapat perkhabaran dari kampung emak jatuh pengsan di rumah dan emak di masuk kan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Serasa tidak percaya, baru berapa jam yang lepas mendengar gelak tawa emak, kini perkhabaran sebegini yang aku terima.

Aku menarik nafas panjang, cuba beringat padaNYA..besarnya dugaanMU ya Allah. Perlahan-lahan aku duduk mengingatkan diri supaya terus kuat. Menerima panggilan dari kakak dan abang lagi membuat air mataku tidak tertahan. Kami 3 beradik semuanya jauh dari kampung, kami sepakat terus pulang menjenguk emak. Kali ini pulang dengan seribu rasa, tidak seperti bulan lepas, aku pulang dengan seribu harapan. sepanjang perjalanan ke kampung, cuma air mata menjadi peneman setia. Dalam hati tidak putus berdoa moga emak terus diberi kesihatan yang baik. Mak.. kuatkan semangat melawan sakit itu  ya mak.

Sesampai di hospital doktor mengesahkan emak menghidapi strok disebabkan tekanan darah terlalu tinggi dan telah menyebabkan sebelah kiri badan mak lumpuh. Siapa pun tidak menyangka emak yang selama ini aktif dan tidak pernah mengadu sakit kini terlantar, percakapan emak pun sudah tidak jelas kedengaran. Aku memujuk hati menerima hakikat ini, aku tahu DIA menguji kerana DIA mengasihi setiap hambanya. Kami adik beradik akan berusaha merawat emak, berikhtiar mencari penawar. Harapan kami cuma satu, mahu melihat emak kembali sihat, mahu melihat senyuman emak!

Baru beberapa hari aku kembali bertugas setelah pulang dari kampung halaman di Lahad Datu, Sabah. Lebih seminggu disana tiap malam aku tidur bersama emak, bermalam bersama di hospital hinggalah emak dibenarkan pulang ke rumah. Betapa beratnya kaki melangkah pulang ke sini bila mengenangkan emak yang terpaksa ku tinggalkan. Mak...cukup bersalah ku rasakan, tidak sanggup sebenarnya aku meninggalkan emak dalam keadaan terlantar sebegitu. Jauh di sudut hati aku mahu menjaga emak, aku mahu di sisi emak 24 jam, menjaga emak dengan sepenuhnya. Nanti aku kembali lagi ya mak, harap mak sabar menunggu kepulanganku. Kuatkan semangat, emak pasti boleh sembuh. Itu yang aku bisikkan di telinga emak. Aku akan sentiasa mendoakan kesembuhan emak.

 
***Sesekali ada jugak terlintas ingin mengambil cuti separuh gaji dan pulang ke kampung halaman menjaga emak. mungkin itu yang sebaiknya kan.

Khamis, 27 Disember 2012

Ikatan Janji

 
 

 
dalam tidak sedar sudah  hampir sebulan aku menyarung cincin ini
aku berdoa, moga saja ikatan ini hingga ke lafaz mulia itu
lafaz akad yang akan menyatukan kita kelak.
In Shaa Allah dengan izinNYA
jangan pernah henti berdoa, moga kita terus di beri kekuatan
mengharungi segalanya.
 
 perancangan awal sekadar datang merisik khabar
akhirnya orang tua sepakat tunangkan kita sekali
 Benarlah kita sekadar mampu merancang,
mulanya merancang ikatan janji pada hari kelahiranku
namun siapa kita mahu menolak andai itu sudah ketentuanNYA
ikatan janji di awalkan sehari, ku kira itu petanda baik buat kita
tiada majlis semeriah orang lain, tiada barang hantaran, tiada gambar untuk diabadikan
sekadar kenduri doa selamat tanda syukur segalanya selesai.
 
cukuplah..
aku tidak meminta lebih, sekadar adanya saja
cukuplah sebentuk cincin dan kain pasang buatku
terima kasih atas pemberian itu.
 
mengharapkan segalanya yang baik-baik saja buat kita.

 
 
ikhlas dariku, untukmu..



***kata orang ikatan pertunangan ni punya banyak dugaan, mujur jarak antara kita jauh dan jarang sekali dapat berjumpa. tidak mengapalah. itu mungkin yang terbaik.
 


Rabu, 12 Disember 2012

Khamis, 8 November 2012

Dari Melaka ke negeri Pahang...

Assalamualaikum..

Serasa macam lirik lagu tajuk entri kali ini..cuma kebetulan itu antara catatan perjalananku sepanjang 2 minggu kebelakangan ini. Raya Aidiladha tahun ni aku dan akak sekeluarga menghabis masa bercuti di negeri bersejarah itu. Sempat berkunjung ke rumah si dia mengeratkan lagi silaturahim yang sudah sedia terjalin.


kena naik beca, baru lengkap pecutian ke Melaka :)

Tiga hari berikutnya aku  mengikuti teambuilding di Taman Negara Pahang. Menyusuri Sungai Tahan menaiki bot mengingatkan aku pada tempat pertama mencari rezeki satu ketika dulu..SK Bilit, Kinabatangan. Suasana tidak jauh berbeza sungai dan hutan yang masih terpelihara saujana mata memandang.

dah naik beca kat Melaka naik bot la pulak kat sini

Menyusuri sungai menikmati keindahan alam, jauh dari segalanya, jauh dari keriuhan kota yang kedengaran cuma kicauan burung yang setia menghuni kawasan ini..bunyi air yang mengalir tenang dari hulu hinggalah ke hilirnya.

tiba di 'lubuk kelah' warna gelap di dalam air itu lah bayang-bayang ikan kelah :)


sungguh....aku teruja lihat keindahan dan kejernihan sungainya

3 hari yang ku rasakan cukup bermanfaat di sini.

 

***Sepanjang di sini kami tidak berkesempatan singgah di perkampungan orang asli. Mungkin di lain hari aku boleh kembali lagi bertemu mata dengan mereka.


Jumaat, 19 Oktober 2012

Nikmat bahagia


Dewasa ini...
ujian hidup datang silih berganti
hadir menyapa tanpa di undang
 
terkadang...
terasa diri kembara sendirian
meniti hari membilang usia
berhadapan mereka yang punya sifat begitu dan begini
ah...sukar dimengertikan!
 

baru tersedar...
bersamaku ada keluarga yang sentiasa menyiram rasa kasih dan sayang
mendorong kala lemah,
membantu kala susah,
membayangkan wajah mereka sudah cukup buatku bahagia
 
Aku menSYUKURi kurniaanMU ini ya Allah
Terima kasih atas nikmat bahagia yang Engkau pinjamkan
 
Sayangi keluarga selagi mereka ada bersama kita..
 
 
 
Danau hatiku
~~bungaTulip~~
 

Rabu, 3 Oktober 2012

Rest In Peace..Christy Lee

Dulu...
aku pernah bercerita mengenai seorang teman di ruangan ini
bercerita betapa kuat, cekal dan tabahnya dia
hampir setahun melawan sakit itu..Kanser Tulang di Tahap 4



 
2 Oktober 2012...
teman yang cekal itu telah pergi buat selamanya
pergi selepas 6 hari menyambut ulangtahun ke-25
muda lagi bukan, tapi itulah ketentuan yang sudah tertulis

Rest In Peace Christy Lee.. 

Kenangan bersamamu selamanya di ingatan :'(


Isnin, 24 September 2012

Spegeti prego siap!

Assalamualaikum...

Semalam macam biasa menghabiskan cuti hujung minggu di rumah akak. Nak balik rumah mak agak jauh kena seberang Laut China Selatan, makanya aku buat keputusan muktamad duduk diam-diam di rumah kakanda yang tersayang...

Bila kita dok saja dirumah mesti tekak terasa nak makan itu ini kan, pantang tengok rancangan masakan dalam tb, sepantas kilat nak cuba resepi. Bila Chef Riz tunjuk cara mudah sediakan spegeti guna sos prego lelaju aku gi cari bahan. Konon nak buat yang macam dalam tb..nak yang macam tu jugak!


Nah...ini dia bahan yang cukup ringkas dan mudah disediakan 


potong ikut citarasa masing-masing. Siap sedia untuk dimasak..


Inilah hasilnya selepas gigih siapkan masakan di dapur

Sebenarnya sos prego ada banyak jenis, cara penyediaan dan bahan untuk spegeti pun ada pelbagai ia bergantung pada selera masing-masing. Memandangkan aku adalah penggemar keju dan sayuran makanya sos prego keju dan herba menjadi pilihan. Tambah dengan sayur brokoli @ sayur pokok lagi membuka selera. nyam2 :)

  
Setelah kedua bahan di campurkan inilah hasilnya



 ...dan lagi setelah di zoom in pada jarak yang lebih dekat


Akhirnya siap jugak Spegeti Prego Perisa Keju air tangan Bunga Tulip..Mengisi masa lapang dengan mencuba resepi baru seronok gak sebenarnya.  Sekali rasa ingatkan dok makan kat Secret Recipe dua kali rasa laa.. aku kat rumah rupanya :)