Rabu, 27 November 2013

Buah Jambu Air

Assalamualaikum...

Kali ini rasa nak berkongsi pasal tanaman pula. Bab pokok-pokok ni memang saya cukup minat, suka tengok tanaman yang membuahkan hasil tapi sayangnya tangan ini tak berapa nak sejuk. Jadinya saya cuma jadi tukang petik je.
 
Lepas kenduri bertandang kat Melaka aritu, Ayah (FIL) ada tanam pokok jambu air kat halaman rumah, nak tanam sebelum majlis takut kena khemah masa kenduri. Jadinya ayah tanam lepas semua majlis dah selesai. Kalau di kira-kira belum sampai 6 bulan pun lagi, tapi pokok ni dah membuahkan hasil.

 terlindung di sebalik rimbunan daun
 
Memula ayah bagitau pokok tu dah ada buah macam tak percaya je, yelah tengok pada fizikal pokok ni memang rendang tak sampai pinggang pun tinggi dia, daun je yang rimbun menghijau. Bila tengok dari jarak dekat baru saya perasan. Eh.. dah ada buah rupanya, dah boleh petik pun :)


buah yang sudah mulai masak.merah menyala..

betul la orang kata, tangan sejuk ni tanam apa pun menjadi.. ini la hasil yang dituai bila berbudi kepada tanah


**********************************************************************************
 
Saya teringat masa kecik-kecik dulu kat kampung (Lahad Datu, Sabah) arwah bapa ada tanam pokok ni betul-betul kat depan rumah. pokoknya agak tinggi kena panjat baru boleh petik buah dia. Masa tu panjat pokok dengan saya memang tak boleh dipisahkan. Sekarang dah tak buat dah sume tau, dah besar panjang dan dah jadi bini orang pun. Ah cepatnya masa berlalu, saya sudah dewasa rupanya!!

Apa nama lain jambu ni ea, kawan dekat opis bagitau ni jambu loceng...

Rabu, 6 November 2013

Biskut lapis cheese

Assalamualaikum..

Hujung minggu lepas saya ada cuba resepi mudah buat biskut keju. Dapat resepi pun dari blog Cik Epal ni. Sangat mudah dan ringkas, senang nak buat tak perlu nak bakar cuma perlu sejuk kan dalam peti ais.

Bahan-bahan yang perlu disediakan:

Cream Cheese 250g (tak kisah jenama apa pun)
1/2 tin susu pekat manis
milo (nak letak nestum pun boleh)
Biskut (Aku guna jenama Hup Seng je)
Susu segar

antara bahan yang digunakan
 
 
1)   Pukul cream cheese terlebih dahulu, kemudian baru masukkan susu pekat manis. Memandangkan kat rumah tiada mixer aku guna blender je. ehe..boleh la kan, mudah dan cepat. Blend kedua bahan tadi hingga sebati.


 

 

2)   Cream cheese yang dah siap blend tadi masuk kan sedikit ke dalam bekas, boleh juga guna loyang yang lagi besar. Celup biskut terlebih dahulu ke dalam susu segar sebelum di masukkan ke dalam bekas. Susun rapi seperti gambar di atas.
 
 

 
3)   Sapukan cream cheese tadi ke atas biskut. Kemudian susun rapi biskut, ulangi langkah tersebut sehingga cream cheese habis. Pada bahagian atas sekali lebihkan cream cheese agar menutupi kesemua biskut.
 
 
 
4)   Taburkan milo ke atas cream cheese, sebagai pilihan boleh juga menggunakan nestum mengikut cita rasa masing-masing. Kemudian masuk kan kedalam peti ais, jika ingin di nikmati segera boleh masuk kan terus ke bahagian sejuk beku.
 
 
 
5)   Siap sedia untuk dimakan, maaf lah terlupa nak tangkap gambar yang elok sikit susun atas pinggan. tengah menikmati baru teringat gambar siap tak tangkap lagi. Cuba la, mudah dan senang :)
 
 

Isnin, 4 November 2013

Salam Maal Hijrah 1435H

Selamat menyambut Awal Muharram buat semua, semoga dengan kehadiran tahun baru ini kita semua dapat sama-sama 'menghijrahkan' diri ke arah yang lebih baik. In Shaa Allah.. saya sertakan sekali doa Awal dan Akhir Tahun untuk rujukan semua. Sekarang pun dah boleh baca Doa Akhir Tahun ni dah masuk waktu Asar dah. Selamat beramal :)
 
 
Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah
 
Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:
"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun

 


 
 
 
 


Doa Awal Tahun di baca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata

"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan"
 



Saya teringat bait-bait lirik dalam lagu sempena Maal Hijrah...

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

**Ya, hijrah harus kita mulai dari dalam diri kita sendiri. Moga terus menjadi Ummah yang mensejahterahkan dunia yang sekadar hanya persinggahan ini.



Rabu, 18 September 2013

Wordless Wednesday - Ingatan


 
 
 
Nilai pemberian bukan terletak pada harganya tapi ia atas ingatan si pemberi dan
bagaimana si penerima mahu menghargainya
 

 
Cameron Highland
15 September 2013 

Selasa, 20 Ogos 2013

Raya pertama kami

Assalamualaikum...

Salam buat semua yang dimuliakan...dah masuk 13 Syawal baru berkesempatan nak ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri buat kalian semua. Masih belum terlambat lagi kan.ehe..Walaupun perkenalan kita semua sekadar di alam maya saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan sekiranya saya pernah terkasar bahasa dalam sedar atau pun tidak..semoga ikatan ukhuwah antara kita terus berkekalan selamanya :)
 
 
anak kawan baik saya di kampung...namanya Rayyan Rizqi
 
Tahun pertama beraya dengan suami..sebenarnya sebelum berkahwin kitorang memang dah bincang pasal turn balik kampung beraya. haruslah decide awal-awal kan yelah Melaka - Sabah bukannya dekat dan suami bersetuju untuk pulang ke kampung halaman saya di Lahad Datu, Sabah. Cuti tak panjang, raya ke-3 kitorang dah berangkat balik ke Melaka.


perjalanan pulang... Land below the wind sudah kelihatan


Perjalanan pulang kami yang jauh bermula seawal pagi sebelum imsak kami sudah bertolak dari Melaka-Putrajaya-KLIA-Kota Kinabalu-Lahad Datu dan kami tiba di kampung halaman beberapa minit sebelum berbuka Puasa. Untung la sahur lewat dan berbuka puasa awal.ehehe...perjalanan jadi panjang sebab terpaksa menunggu lama di airport. Kami transit di Kota Kinabalu sebelum menaiki boeing 737 Mas Wings menuju Lahad Datu. Kan bagus kalau ada penerbangan direct Kuala Lumpur-Lahad Datu tak perlu nak singgah memana.
 
 
dalam bulatan merah = rumah saya :)
 
Masa tangkap gambar tak perasan pulak tertangkap gambar rumah sendiri. Rasa gembira membatasi segalanya..dalam masa beberapa minit lagi dah boleh berpijak di kampung halaman. Dari subuh kot perjalanan tak sabar nak sampai rumah..Oh ya, rumah saya dengan airport jaraknya cuma 2km. memang setiap hari tengok burung besi terbang atas bumbung rumah. Masa kecik-kecik dulu siap tunggu kapal terbang lalu nak lambai tangan sambil jerit bye bye :)
 
 
Buras Pulut dan Buras Koa = makanan wajib di hari raya
 
 
Ketupat dengan hari raya memang tak boleh dipisahkan, dah jadi menu wajib. Kat Sabah (khususnya bagi orang Bugis) Buras wajib disediakan sebagai juadah orang yang datang bertandang di Hari Raya. Ada dua jenis Buras yang kat atas ni guna pulut hitam dan guna beras biasa yang macam kita biasa masak hari-hari tu. Cumanya di tambah dengan sedikit garam dan santan. lepas tu bungkus dengan daun pisang dan di ikat rapi sebelum di masak selama lebih kurang 4-5 jam. Kaedah masak dia lebih kurang macam ketupat jugak.Buras sedap di makan dengan ayam masak lengkuas. tu memang geng dia..
 
 
hasil laut kima (sejenis tiram) dan rumpai laut (latok) yang masih segar
 
Raya ke-2 kami ke pasar, tekak nak rasa makanan laut pula. Ya, di Sabah makanan laut harganya masih berbaloi tiram ni seikat RM5 dan rumpai laut segar selonggok cuma RM1. Murah bukan, sampaikan suami saya nak beli semua jualan makcik tu. tipu. Macam-macam di belinya. Mana yang pelik dan susah nak jumpa kat Semenanjung dia beli sekadar ingin mencuba katanya. Tiram dengan rumpai laut ni kami tak masak, wat macam kerabu je..sekadar dibasuh bersih, perahkan air limau kasturi, letak cili padi, hirisan bawang dan sidikit garam.siap untuk dimakan. Senang bukan!
 
 
 
hasil laut yang telah dikeringkan, yang kat atas tu sotong kering.
sekali pandang macam wau pun ada.heee :P
 
Lepas ke pasar ikan kami gerak ke pasar lagi satu, yang menjual hasil laut yang telah dikeringkan.macam-macam jugak, ada sotong kering, udang kering, ikan bilis, ikan masin, udang geragau kering, gamat kering, belacan, dan pelbagai lagi. Harga? boleh la tahan sedikit murah dari harga pasaran di sini. bawa balik ikan bilis dan udang kering buat sedara mara belah suami. 
 
Dan raya ke3 kami bersiap-siap untuk pulang ke Melaka..cuti yang sangat singkat. Masa bujang dulu mau sampai 2 minggu bercuti raya.ehe...sekarang kena bertimbang rasa sikit. Syukur raya tahun ni saya masih berkesempatan pulang ke kampung halaman jumpa bonda dan sedara mara yang lain walaupun sekejap cuma.
 

Alhamdulillah kesihatan bonda dah ada perubahan yang sedikit baik dari yang dulu.sayang mak..
 
 
Raya kali ni satu pengalaman baru buat suami dari segi makanan banyak yang berbeza dengan apa yang dia biasa makan di sini.Pengalaman yang bagus buat dia barangkali..biar dia lebih mengenali budaya bangsa isterinya :)
 

Khamis, 11 Julai 2013

Ramadhan 1434H

Assalamualaikum buat semua...
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tahun ini berpuasa seperti tahun-tahun lepas,
cumanya tahun ini  sebagai seorang isteri
tiada apa yang berbeza, sama saja.
masih di sini bersama mereka..
bersama rakan-rakan sekerja,
dan teman-teman serumah
terima kasih sahabat.
adanya kamu
ubat rinduku.
 
maaf kiranya ramadhan ini aku tidak bersamamu
tidak menyediakan makan minum buatmu
tanggungjawab yang tak dapat ku tunaikan,
lantaran tuntutan kerja menjarakkan kita
mungkin belum tiba rezeki bersama
semoga terus diberi kesabaran
berkat Ramadhan yang
penuh kemuliaan
 
Usah bersedih bila kudratmu tidak seperti dulu
ku tahu payah untuk mak terima semua ini
percayalah mak, dalam setiap ujianNya
tersirat seribu hikmah tersembunyi
moga mak terus diberi kekuatan
dan kesihatan yang baik dibulan
mulia Ramadhan al Mubarak
 

***sebenarnya aku baru lepas kol orang JPA bertanyakan urusan pertukaranku.. masih belum ada rezeki bertukar.erm PJJ lagi la jawabnya.sabar.


selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia, hargai masa bersama orang-orang yang tersayang :)

Rabu, 19 Jun 2013

Bunga Tulip sudah di sunting...

Assalamualaikum....
 
Wah kemain lagi tajuk entri ni, sudah di sunting oleh sang kumbang katanya.ehe...apa-apa pun Syukur Alhamdulillah ku panjatkan kerana dengan izin-Nya segala perancangan bermula dari majlis akad nikah, persandingan dan majlis bertandang berjalan dengan lancar.
 
selamat datang buat semua tetamu yang di muliakan :)
 
 
Majlis perkahwinan dekat Sabah memang agak berbeza dengan majlis kat sini. aku  awal-awal dah bagitau husband suruh dia bersedia untuk sanding dari siang (lepas nikah) sampai la ke malam. Haritu kitorang sanding sampai jam 11.00 malam jugak. tengok tetamu dah tak ramai cecepat minta kebenaran nak naik rumah. 
  
abang kandung berbaju biru.. menjadi wali untuk pernikahanku..al fatihah buat arwah bapa yang telah meninggal dunia 2 tahun lepas :'( 
 
Majlis akad nikah buat lepas zohor di rumah bonda. Rombongan pengantin lelaki tiba pada waktu yang di janjikan..Sebelum nak masuk ke dalam rumah, pengantin lelaki kena cuci kaki terlebih dahulu. bukan guna banyak air pun sikit je, adalah orang tua yang agak arif pasal benda ni tolong buat sekadar basahkan sikit dekat stoking. Jangan tanya aku kenapa, sebab aku sendiri pun tidak tahu apa motif berbuat demikian. ehe... ikutkan jelah. Dengan 2 kali lafaz kami telah sah jadi suami isteri. rasa sebak, terharu, gembira semua jadi satu. aku sudah di miliki rupanya..dah jadi bini orang pun. akhirnya berakhir lah pencarian cintaku selama ini.chewah... ayat jiwang di situ.
 

suami vs isteri
lagu widuri buat si isteri
 
 
Selepas selesai akad nikah dan pembatalan air sembahyang, terus ke pelamin. bermula sudah persandingan kami. Persalinan pertama, oh ya baju nikah ni aku D.I.Y sendiri.. jahit pearl skali tampal lace. puas hati jugak pakai hasil tangan sendiri, murah dan jimat baju pun boleh simpan sampai ke tua. kalau nak sewa rasa tidak berbaloi..
 

 
Persalinan baju adat Bugis
 
Baju kuning ni sebenarnya baju adat suku kaum Bugis, ia juga dikenali sebagai 'baju bodo' atau 'waju tokko' dalam bahasa Bugis. Terdapat dalam pelbagai pilihan warna yang masing-masing ada maksud di sebaliknya. Setiap warna menunjukkan usia ataupun martabat si pemakainya. Pada masa kini ramai yang guna waju tokko sebagai persalinan pengantin dan juga sering  digunakan dalam majlis khatam  Al-Quran.
 


sempat kuar kejap petang tu gi buat outdoor
 
 
Memandangkan persandingan di buat sepanjang hari, yakni sampai ke malam makanya petang tu kami kuar outdoor ke tempat yang berhampiran sahaja. Itu pun tidak lama makan masa sejam pergi dan balik. Lokasi pilihan ialah di Lahad Datu Golf and Country Club, Batu 5 Jalan Segama. ok la dapat view pokok kelapa sawit yang merupakan hasil pertanian utama di daerah ini. Tambah dengan padang rumput yang menghijau..sejuk di pandangan mata.
 
 
 
pelamin kena serbu kanak-kanak riang.adei..
 
Lepas balik outdoor siap-siap untuk persandingan belah malam lagi. Punya la seronok anak sedara aku ni main sorok2 atas pelamin. apa dia ingat yang tengah duduk atas ni patung ke. Bebudak ni nak kena jelingan maut mak usu die kot.ehe..masa ni awal lagi, orang pun tak berapa ramai..si pengantin tengah syok layan orang live band tu nyanyi.erm sedap jugak suara depa ni..
 
 
malam masa potong kek pakai gaun kembang-kembang gitu..bukan selalu kan :)
 
 
adik-adik yang jadi orang kuat di hari bahagiaku...
 
Terima kasih juga buat semua ahli keluarga yang telah banyak membantu, sedara mara, sahabat dan semua samada yang hadir atau pun tidak..yang mendoakan kebahagiaan kami, terima kasih atas ingatan kalian. semoga kami dapat mengharungi segala dugaan hidup di alam rumah tangga. In Shaa Allah...


buatmu suamiku, terima kasih atas segalanya...

Rabu, 12 Jun 2013

Walimatul Urus Bunga Tulip

Sebenarnya tarikh ni sudah belalu. uhuk... bukan baru menjemput tapi terlupa nak Publish...sekadar save dekat draf je. hari ni baru masuk ofis lepas bercuti panjang, tu yang baru perasan :'( maapkan daku  penunggu gua.huhu...
  
 
 

Dengan penuh rasa kesyukuran dan hormatnya saya seisi keluarga menjemput YBrs.
Dr./Tuan/Puan untuk hadir ke Majlis Perkahwinan saya :


TARIKH : 01 JUN 2013 (SABTU)
MASA : 11 PAGI – 11 MALAM
TEMPAT : BATU 2 JALAN SEGAMA, LAHAD DATU SABAH.

Majlis Bertandang sebelah lelaki

TARIKH : 08 JUN 2013 (SABTU)
MASA : 11 PAGI - 4.00 PETANG
TEMPAT : LOT 687, JLN HANG NADIM PERMATANG DUYONG, MELAKA.


~Semoga dengan kehadiran dan berkat doa hadirin sekalian akan menyerikan lagi majlis
kami dan diberkati Allah S.W.T hendakNya.

Khamis, 16 Mei 2013

Lilin seorang guru

16 MEI 2013
SELAMAT HARI GURU

Tiada kata yang selayaknya boleh digambarkan untuk menyatakan betapa besarnya budi dan jasa seorang guru, pengorbanan mendidik anak bangsa, ilmu di curah tanpa mengharapkan balasan. Hanya mahukan pelajar itu berjaya, itulah hadiah yang paling berharga buatnya.
 
5 tahun lepas aku pernah menjadi guru sandaran di kawasan pedalaman. Memang betul-betul menjadi lilin yang membakar diri. ehe.. pengorbanan untuk tinggal dan mengajar di sana meskipun dalam keadaan yang serba kekurangan.



Cuma berbekalkan air hujan sebagai sumber air bersih. Kalau hujan tak turun dalam masa yang lama, terpaksa mandi air sungai, bukan sungai yang jernih ada air terjun bagai, tapi air Sungai Kinabatangan yang menjadi habitat buaya, sungai yang menjadi laluan kayu balak yang sengaja di hanyutkan sampai ke hilir sungai. Silap haribulan ada jugak yang hanyut sekali :) 
 
Bekalan elektrik pula hanya pada waktu malam sahaja, jadi guru di kawasan pedalaman jiwa memang kena kental kalau tidak, mau hari pertama lapor diri terus nak minta hantar balik rumah mak. Namun, di sebalik kekurangan yang ada di kawasan pedalaman ada jua hikmahnya. Dapat pelajar yang sangat menghormati guru. Senang nak mengajar memandangkan mereka semuanya bersemangat  untuk belajar.
 
 
 
 
Aku mengharapkan moga satu hari nanti mereka akan berjaya, tidak kira dalam bidang apa sekalipun. Mahu melihat mereka terus maju dan sama-sama merasai nikmat pembangunan di bumi bertuah Malaysia. In Shaa Allah..
 
***Tetiba jadi sedih bila teringat kisah Amira dengan bekas nasi goreng.. Harap pelajar seperti Amira mendapat bantuan sewajarnya. 

Selasa, 30 April 2013

Tentang rasa


Semalam...
engkau ada menegurku
menzahirkan rasa ati yang sedikit terkilan
meluahkan rasa yang berjauh hati padaku
maaf.

terkadang..
aku suka buat hal sendiri
terlupa ada hati yang perlu ku jaga
seminggu dua ini aku sedikit sibuk
ke sana sini menghabis masa
menguruskan perkara yang tak pernah sudah

dalam kita membilang waktu..
menunggu tiba hari bahagia
persediaan diri perlu di rapikan
semoga kita dapat harungi
permulaan sebuah tanggungjawab
yang ku harapkan kita dapat menggalasnya
dengan penuh rasa amanah
untuk hari esok, dan hari-hari seterusnya..

sabarlah..

pabila lafaz mulia itu mengikat kita
akan ku berikan sepenuh perhatian padamu
akan ku dahulukan dirimu dalam segala apa ku lakukan
mengharapkan restu mu selalu bersamaku


hari ini genap 5bulan ikatan janji kita. Perjalanan yang masih jauh, semoga kita terus sama seiring mengharungi liku-liku di sepanjang jalan sehingga kita temui DESTINASI itu..


 

Rabu, 10 April 2013

Pisang Abu di lenyek

Assalamualaikum semua..

Pisang Abu? ehe..aku pun tak pasti apa nama pisang ni, kalau di Sabah orang panggil pisang goreng sebab selalunya ia di goreng dulu sebelum di makan. Tapi ada jugak orang makan bila kulit pisang ni dah bertukar warna jadi kekuningan.

Tak kisah pun sebenarnya ikut selera masing-masing kan. Kalau kat kampung bila dapat pisang abu yang masih mentah segar dari ladang mesti akan di goreng, tapi sadis jugak sebab pisang tu akan di lenyek dengan lesung batu bak kata orang kampung aku 'sanggar pappek'.haha..pelik je nama dia kan tapi rasanya memang sedap. rangup-rangup macam keropok..crunchy2 gitu.


sanggar  (pisang goreng) + pappek (di lenyek) = Sanggar pappek
      

Pisang abu yang masih muda kehijauan dan sudah mulai masak bertukar kekuningan
 
 
Kalau nak buat 'sanggar pappek' kena guna pisang yang masih muda (kulit kehijauan). Pisang abu yang muda bila di kupas akan ada getah yang keluar kalau taknak lekit kat tangan, leh balut tangan tu guna plastik takpun boleh cuba petua orang kampung cuma sapukan minyak masak di tangan kang bila basuh tangan guna sabun tiada kesan getah pisang yang lekat dekat tangan tu.
 
 
 dah elok goreng separuh masak boleh la lenyek guna lesung batu
 
 
Memula pisang yang dah kupas tu goreng atas minyak panas kejap je supaya senang nak lenyek. Kalau pisang tu besar macam kat atas ni leh potong dua sebab bila kita lenyek pisang tu akan jadi lebar. ikut la kalau nak bagi garing kena lenyek bagi nipis, kallau suka yang tebal pun ok jugak, empuk pisang tu lagi terasa. Bila dah siap kerja-kerja melenyek, pisang ni kena goreng balik atas minyak panas bagi dia lagi rangup dan garing.siap.
 
 
ni dia rupa pisang abu yang dah di lenyek.....dan selepas di goreng semula
 
 
 pisang dah siap goreng tu leh makan dengan sambal belacan + cili + tomato
 
Oh ya, pisang abu yang dah kekuningan tu sedap jugak bila di buat jemput/cekodok. selalunya kalau buat cekodok guna pisang abu, aku suka potong dadu. orang cakap kalau nak bagi tepung cekodok kita garing dan senang nak goreng (tidak lekat dekat kuali) boleh letak minyak yang dah panas tu dalam adunan cekodok tadi sebelum di goreng.
 
 
 
 
 
 
Hasilnya memang betul cekodok tu senang nak goreng dan tak berminyak. lagipun kita kalau boleh nak elakkan makanan yang berminyak baru sihat sentiasa.ehe..cekodok ni buat minum petang tambah dengan secawan teh o panas sangat menyelerakan.
 

dan isi la hasilnya..cekodok pisang abu kurang minyak :)


 
**** jika tiada halangan 5 Mei ni nak balik kampung mengundi, tunaikan tanggungjawab kepada negara. chewah.. boleh buat 'sanggar pappek' dengan cekodok ni kalau kat sana nak pisang abu terus gi tumbang sendiri kat pokok, takyah sesusah cari kat pasar malam.