Jumaat, 18 Januari 2013

Ketentuan MU


Assalamualaikum buat semua...
Entri pertamaku di awal tahun Dua Puluh Tiga Belas
Permulaan cerita ku abadikan di hari Jumaat yang penuh keberkatan. Moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNYA. Entah bagaimana harus aku mulai penulisan ini, semangat tidak seperti selalunya..

Semangatku sudah tinggal separuh yang masih bersisa. selalunya saat aku punya masalah orang pertama yang akan aku hubungi sudah tentu emak tersayang, walaupun suaranya ku dengar lewat telefon tapi nasihat dan kata-katanya sudah cukup membakar semangatku untuk bangkit semula meniti kehidupan yang tidak pernah lari dari masalah.

6 Januari 2013 sekitar pukul 4.10petang, itu kali terakhir mendengar suara emak di telefon, masih sempat bergurau senda, begitulah rutin harianku walaupun jauh aku tidak pernah lupa menghubungi emak setiap hari bertanyakan khabar beritanya. Beberapa jam selepas itu, aku mendapat perkhabaran dari kampung emak jatuh pengsan di rumah dan emak di masuk kan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Serasa tidak percaya, baru berapa jam yang lepas mendengar gelak tawa emak, kini perkhabaran sebegini yang aku terima.

Aku menarik nafas panjang, cuba beringat padaNYA..besarnya dugaanMU ya Allah. Perlahan-lahan aku duduk mengingatkan diri supaya terus kuat. Menerima panggilan dari kakak dan abang lagi membuat air mataku tidak tertahan. Kami 3 beradik semuanya jauh dari kampung, kami sepakat terus pulang menjenguk emak. Kali ini pulang dengan seribu rasa, tidak seperti bulan lepas, aku pulang dengan seribu harapan. sepanjang perjalanan ke kampung, cuma air mata menjadi peneman setia. Dalam hati tidak putus berdoa moga emak terus diberi kesihatan yang baik. Mak.. kuatkan semangat melawan sakit itu  ya mak.

Sesampai di hospital doktor mengesahkan emak menghidapi strok disebabkan tekanan darah terlalu tinggi dan telah menyebabkan sebelah kiri badan mak lumpuh. Siapa pun tidak menyangka emak yang selama ini aktif dan tidak pernah mengadu sakit kini terlantar, percakapan emak pun sudah tidak jelas kedengaran. Aku memujuk hati menerima hakikat ini, aku tahu DIA menguji kerana DIA mengasihi setiap hambanya. Kami adik beradik akan berusaha merawat emak, berikhtiar mencari penawar. Harapan kami cuma satu, mahu melihat emak kembali sihat, mahu melihat senyuman emak!

Baru beberapa hari aku kembali bertugas setelah pulang dari kampung halaman di Lahad Datu, Sabah. Lebih seminggu disana tiap malam aku tidur bersama emak, bermalam bersama di hospital hinggalah emak dibenarkan pulang ke rumah. Betapa beratnya kaki melangkah pulang ke sini bila mengenangkan emak yang terpaksa ku tinggalkan. Mak...cukup bersalah ku rasakan, tidak sanggup sebenarnya aku meninggalkan emak dalam keadaan terlantar sebegitu. Jauh di sudut hati aku mahu menjaga emak, aku mahu di sisi emak 24 jam, menjaga emak dengan sepenuhnya. Nanti aku kembali lagi ya mak, harap mak sabar menunggu kepulanganku. Kuatkan semangat, emak pasti boleh sembuh. Itu yang aku bisikkan di telinga emak. Aku akan sentiasa mendoakan kesembuhan emak.

 
***Sesekali ada jugak terlintas ingin mengambil cuti separuh gaji dan pulang ke kampung halaman menjaga emak. mungkin itu yang sebaiknya kan.