Selasa, 30 April 2013

Tentang rasa


Semalam...
engkau ada menegurku
menzahirkan rasa ati yang sedikit terkilan
meluahkan rasa yang berjauh hati padaku
maaf.

terkadang..
aku suka buat hal sendiri
terlupa ada hati yang perlu ku jaga
seminggu dua ini aku sedikit sibuk
ke sana sini menghabis masa
menguruskan perkara yang tak pernah sudah

dalam kita membilang waktu..
menunggu tiba hari bahagia
persediaan diri perlu di rapikan
semoga kita dapat harungi
permulaan sebuah tanggungjawab
yang ku harapkan kita dapat menggalasnya
dengan penuh rasa amanah
untuk hari esok, dan hari-hari seterusnya..

sabarlah..

pabila lafaz mulia itu mengikat kita
akan ku berikan sepenuh perhatian padamu
akan ku dahulukan dirimu dalam segala apa ku lakukan
mengharapkan restu mu selalu bersamaku


hari ini genap 5bulan ikatan janji kita. Perjalanan yang masih jauh, semoga kita terus sama seiring mengharungi liku-liku di sepanjang jalan sehingga kita temui DESTINASI itu..


 

Rabu, 10 April 2013

Pisang Abu di lenyek

Assalamualaikum semua..

Pisang Abu? ehe..aku pun tak pasti apa nama pisang ni, kalau di Sabah orang panggil pisang goreng sebab selalunya ia di goreng dulu sebelum di makan. Tapi ada jugak orang makan bila kulit pisang ni dah bertukar warna jadi kekuningan.

Tak kisah pun sebenarnya ikut selera masing-masing kan. Kalau kat kampung bila dapat pisang abu yang masih mentah segar dari ladang mesti akan di goreng, tapi sadis jugak sebab pisang tu akan di lenyek dengan lesung batu bak kata orang kampung aku 'sanggar pappek'.haha..pelik je nama dia kan tapi rasanya memang sedap. rangup-rangup macam keropok..crunchy2 gitu.


sanggar  (pisang goreng) + pappek (di lenyek) = Sanggar pappek
      

Pisang abu yang masih muda kehijauan dan sudah mulai masak bertukar kekuningan
 
 
Kalau nak buat 'sanggar pappek' kena guna pisang yang masih muda (kulit kehijauan). Pisang abu yang muda bila di kupas akan ada getah yang keluar kalau taknak lekit kat tangan, leh balut tangan tu guna plastik takpun boleh cuba petua orang kampung cuma sapukan minyak masak di tangan kang bila basuh tangan guna sabun tiada kesan getah pisang yang lekat dekat tangan tu.
 
 
 dah elok goreng separuh masak boleh la lenyek guna lesung batu
 
 
Memula pisang yang dah kupas tu goreng atas minyak panas kejap je supaya senang nak lenyek. Kalau pisang tu besar macam kat atas ni leh potong dua sebab bila kita lenyek pisang tu akan jadi lebar. ikut la kalau nak bagi garing kena lenyek bagi nipis, kallau suka yang tebal pun ok jugak, empuk pisang tu lagi terasa. Bila dah siap kerja-kerja melenyek, pisang ni kena goreng balik atas minyak panas bagi dia lagi rangup dan garing.siap.
 
 
ni dia rupa pisang abu yang dah di lenyek.....dan selepas di goreng semula
 
 
 pisang dah siap goreng tu leh makan dengan sambal belacan + cili + tomato
 
Oh ya, pisang abu yang dah kekuningan tu sedap jugak bila di buat jemput/cekodok. selalunya kalau buat cekodok guna pisang abu, aku suka potong dadu. orang cakap kalau nak bagi tepung cekodok kita garing dan senang nak goreng (tidak lekat dekat kuali) boleh letak minyak yang dah panas tu dalam adunan cekodok tadi sebelum di goreng.
 
 
 
 
 
 
Hasilnya memang betul cekodok tu senang nak goreng dan tak berminyak. lagipun kita kalau boleh nak elakkan makanan yang berminyak baru sihat sentiasa.ehe..cekodok ni buat minum petang tambah dengan secawan teh o panas sangat menyelerakan.
 

dan isi la hasilnya..cekodok pisang abu kurang minyak :)


 
**** jika tiada halangan 5 Mei ni nak balik kampung mengundi, tunaikan tanggungjawab kepada negara. chewah.. boleh buat 'sanggar pappek' dengan cekodok ni kalau kat sana nak pisang abu terus gi tumbang sendiri kat pokok, takyah sesusah cari kat pasar malam.
 

Selasa, 19 Mac 2013

5 hari 4 malam di Lahad Datu


Bila sebut nama Lahad Datu pasti kita akan teringat dengan 'peristiwa itu'. Aku sendiri seperti tidak percaya perkara sebegini telah berlaku di daerah kelahiranku, tempatku dibesarkan, bertatih jatuh dan bangun semuanya bermula di sini..Terkadang kita lupa keamanan yang kita kecapi hari ini semuanya akan direntap sekelip mata andai kita sendiri tidak berusaha mempertahankan nikmat yang kita miliki hasil perjuangan mereka yang terdahulu.
 
Sekarang semua serba ada, bangun tidur semua sudah tersedia di depan mata. Mungkin itu yang buat kita leka kita alpa kita merasa sudah cukup selesa sedangkan musuh cuma menunggu masa ingin merobek keamanan yang kita pelihara sejak sekian lama di bumi bertuah Malaysia.apesal aku tetiba emo ni.adei...
 
 
trak tentera, pemandangan biasa di sana..
 
 
Sepanjang perjalanan pulang dari airport Tawau ke Lahad Datu aku sempat menangkap gambar, Lapangnya hati bila sudah berpijak di daerah ini. seakan lupa kejadian sebenar yang berlaku disini.
 
Teringat kawan kat office, semuanya tak bagi aku balik kampung. risau akan keselamatanku (untunglah ada kawan yang ambil berat) Siap ada yang kata 'tak takut kena tembak ke'? ehe.. tidak mengapalah niat aku balik kampung cuma satu, mahu menziarahi emak yang masih kurang sihat..Sempat jugak menghantar emak ke hospital sewaktu bercuti hari tu..

 
Hospital di buka seperti biasa cuma agak lengang orang pun tidak ramai

 
 
sampai kat pusat bandar, lalulintas sudah mulai sesak
 
Kali ini pulang bercuti tidak lama, cukuplah sekurang-kurangnya dapat berjumpa emak dan merasa sendiri suasana di sana. Takut dan risau itu memang ada cuma dengan kehadiran anggota keselamatan yang berkawal menambahkan lagi keyakinan semua di sana.
 
Alhamdulillah keadaan sudah kembali pulih, masing-masing sudah menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Terima kasih anggota keselamatan, tabik hormat ku berikan buat kalian semua. Al-fatihah buat yang telah terkorban. Jasamu di sanjung tinggi


***hargailah keamanan yang dikecapi kini. Moga bumi Malaysia terus terpelihara hari ini, esok dan selamanya

Sabtu, 2 Mac 2013

Hometown

Lahad Datu...
cuma sebuah daerah kecil
di timur negeri bawah bayu

Lahad Datu...
sekitarmu dikelilingi lautan
gugusan pulaumu berserakan
hembusan anginmu cukup mendamaikan

Namun hari ini,
Hilang semua kedamaian itu
sekelip mata keadaan berubah
melahirkan debar di setiap hati
buat bonda, keluarga, anggota keselamatan
dan semua di sana, bertabahlah...
semoga sentiasa dalam lindunganNYA




















**Al fatihah buat pasukan keselamatan yang terkorban di sana, padaku mereka adalah pejuang bangsa yang berjasa.  doakan insiden ini segera di selesaikan



Jumaat, 18 Januari 2013

Ketentuan MU


Assalamualaikum buat semua...
Entri pertamaku di awal tahun Dua Puluh Tiga Belas
Permulaan cerita ku abadikan di hari Jumaat yang penuh keberkatan. Moga kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNYA. Entah bagaimana harus aku mulai penulisan ini, semangat tidak seperti selalunya..

Semangatku sudah tinggal separuh yang masih bersisa. selalunya saat aku punya masalah orang pertama yang akan aku hubungi sudah tentu emak tersayang, walaupun suaranya ku dengar lewat telefon tapi nasihat dan kata-katanya sudah cukup membakar semangatku untuk bangkit semula meniti kehidupan yang tidak pernah lari dari masalah.

6 Januari 2013 sekitar pukul 4.10petang, itu kali terakhir mendengar suara emak di telefon, masih sempat bergurau senda, begitulah rutin harianku walaupun jauh aku tidak pernah lupa menghubungi emak setiap hari bertanyakan khabar beritanya. Beberapa jam selepas itu, aku mendapat perkhabaran dari kampung emak jatuh pengsan di rumah dan emak di masuk kan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Serasa tidak percaya, baru berapa jam yang lepas mendengar gelak tawa emak, kini perkhabaran sebegini yang aku terima.

Aku menarik nafas panjang, cuba beringat padaNYA..besarnya dugaanMU ya Allah. Perlahan-lahan aku duduk mengingatkan diri supaya terus kuat. Menerima panggilan dari kakak dan abang lagi membuat air mataku tidak tertahan. Kami 3 beradik semuanya jauh dari kampung, kami sepakat terus pulang menjenguk emak. Kali ini pulang dengan seribu rasa, tidak seperti bulan lepas, aku pulang dengan seribu harapan. sepanjang perjalanan ke kampung, cuma air mata menjadi peneman setia. Dalam hati tidak putus berdoa moga emak terus diberi kesihatan yang baik. Mak.. kuatkan semangat melawan sakit itu  ya mak.

Sesampai di hospital doktor mengesahkan emak menghidapi strok disebabkan tekanan darah terlalu tinggi dan telah menyebabkan sebelah kiri badan mak lumpuh. Siapa pun tidak menyangka emak yang selama ini aktif dan tidak pernah mengadu sakit kini terlantar, percakapan emak pun sudah tidak jelas kedengaran. Aku memujuk hati menerima hakikat ini, aku tahu DIA menguji kerana DIA mengasihi setiap hambanya. Kami adik beradik akan berusaha merawat emak, berikhtiar mencari penawar. Harapan kami cuma satu, mahu melihat emak kembali sihat, mahu melihat senyuman emak!

Baru beberapa hari aku kembali bertugas setelah pulang dari kampung halaman di Lahad Datu, Sabah. Lebih seminggu disana tiap malam aku tidur bersama emak, bermalam bersama di hospital hinggalah emak dibenarkan pulang ke rumah. Betapa beratnya kaki melangkah pulang ke sini bila mengenangkan emak yang terpaksa ku tinggalkan. Mak...cukup bersalah ku rasakan, tidak sanggup sebenarnya aku meninggalkan emak dalam keadaan terlantar sebegitu. Jauh di sudut hati aku mahu menjaga emak, aku mahu di sisi emak 24 jam, menjaga emak dengan sepenuhnya. Nanti aku kembali lagi ya mak, harap mak sabar menunggu kepulanganku. Kuatkan semangat, emak pasti boleh sembuh. Itu yang aku bisikkan di telinga emak. Aku akan sentiasa mendoakan kesembuhan emak.

 
***Sesekali ada jugak terlintas ingin mengambil cuti separuh gaji dan pulang ke kampung halaman menjaga emak. mungkin itu yang sebaiknya kan.

Khamis, 27 Disember 2012

Ikatan Janji

 
 

 
dalam tidak sedar sudah  hampir sebulan aku menyarung cincin ini
aku berdoa, moga saja ikatan ini hingga ke lafaz mulia itu
lafaz akad yang akan menyatukan kita kelak.
In Shaa Allah dengan izinNYA
jangan pernah henti berdoa, moga kita terus di beri kekuatan
mengharungi segalanya.
 
 perancangan awal sekadar datang merisik khabar
akhirnya orang tua sepakat tunangkan kita sekali
 Benarlah kita sekadar mampu merancang,
mulanya merancang ikatan janji pada hari kelahiranku
namun siapa kita mahu menolak andai itu sudah ketentuanNYA
ikatan janji di awalkan sehari, ku kira itu petanda baik buat kita
tiada majlis semeriah orang lain, tiada barang hantaran, tiada gambar untuk diabadikan
sekadar kenduri doa selamat tanda syukur segalanya selesai.
 
cukuplah..
aku tidak meminta lebih, sekadar adanya saja
cukuplah sebentuk cincin dan kain pasang buatku
terima kasih atas pemberian itu.
 
mengharapkan segalanya yang baik-baik saja buat kita.

 
 
ikhlas dariku, untukmu..



***kata orang ikatan pertunangan ni punya banyak dugaan, mujur jarak antara kita jauh dan jarang sekali dapat berjumpa. tidak mengapalah. itu mungkin yang terbaik.